A Street Produce

A Street Produce

Saya masih ingat waktu pertama kali Honda Civic generasi ke 8 diperkenalkan. Ia menjadi satu versi baru yang tidak pernah dibayangkan oleh pereka model Civic pertama. Kereta ini adalah model Civic yang didatangkan dengan saiz paling besar, paling luas, paling lebar dan paling berkuasa dengan enjin K20 generasi terakhir.

Kereta ini juga akan diingati kerana dihasilkan di zaman kemelesetan ekonomi Jepun yang memaksa Honda Motor Jepun memanjangkan jangkahayat pengeluarannya sehingga ke tempoh paling panjang; 7 tahun. Ia sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam segmen paling laris untuk kereta Honda sejak 3 dekad lalu yang mana setiap generasi digantikan pada tempoh 5 tahun.

Ketika negara sebelah Asia menyaksikan kebangkitan segmentasi kereta urban yang lebih kecil seperti Honda City, Vios dan Latio, Civic mengangkat darjatnya meletakkan standard baru dalam segmen kereta penumpang. Jauh dari satu sudut lain, kereta ini mula mengembalikan populariti golongan muda, sama ada digunakan dalam perlumbaan trek untuk model FD2 Type R ataupun versi jalanan dari model berenjin 1.8 dan 2 liter biasa.

Beberapa buah kereta buatan New Sound Quest sebelum ini dihidangkan dengan pengubahsuaian yang ekstrem. Pada kali ini, mereka menampilkan projek yang berbeza dengan idea sebuah kereta ‘jalanan’ berkonsepkan audio yang lebih tersusun. Sepertimana belanja yang telah diperuntukkan oleh pelanggannya, New Sound Quest telah ‘membina’ semula kereta ini mengikut kehendak pelanggannya dengan idea dan aturan yang dicadangkan.

Pemain utama kereta ini ialah Alpine IVA-520E, pemain 2-din dengan fungsi media DVD dan skrin sesentuh ini menerima pemproses Alpine PXA-H800 sebagai pelaras premier. Susunan pembahagian laluannya dibuat dengan 3 aliran utama iaitu frekuensi rendah, sederhana dan tinggi serta frekuensi di bawah 60dB untuk woofer. Untuk tujuan tersebut, 3 unit amplifier Flux dipasangkan dengan kemas di bahagian but belakang dengan penutupan gelas PVV, sedikit pelapik arkilik dan sebaran lampu LED. Amplifier 2 channel, 4 channel dan seunit amplifier monoblok ini memenuhi ruang but belakang dengan penampilan yang menarik.

Kehadiran sistem bunyi 3 hala yang dibuat membabitkan pemasangan set mid range Flux M80R berukuran 3” yang berkongsi pillar dengan 2 unit tweeter Flux HT28R. Saya bersetuju untuk katakan, saiz pillar Civic memang banyak membantu kerana rekaan kereta ini memberi banyak ruang untuk peralatan aftermarket dipadankan. Membantu frekuensi sederhana dan tinggi ini ialah penapisan gelombang bunyi untuk mengasingkan frekuensi yang dibuat oleh crossover passive Flux XR361.

Mid bass 6.5” Flux T160R2 pula dipasang menggantikan panel speaker di bahagian pintu hadapan. Pihak New Sound Quest membina semula perumah khusus untuk speaker ini bagi mengoptimumkan output bunyi dan meningkatkan tahap tebatan. Sekali lagi, seunit crossover pasif Flux XR361 digunakan untuk memastikan hanya frekuensi yang dikehendaki sahaja dihasilkan.

Kaedah pemasangan woofer di hadapan telah menjadi satu trend yang semakin popular hari ini. Ia bukanlah teknik yang baru tetapi rekaan kereta-kereta moden membolehkan ruang yang besar terhasil bilamana kotak glove ditanggalkan. Dalam kes Civic ini, setelah mengeluarkan laci tersebut, ia boleh menempatkan seunit woofer 10” dengan hanya sedikit modifikasi.

Menempatkan woofer sebesar itu bukanlah satu proses yang susah namun untuk memastikan hasil bunyinya sepadan dengan saiz adalah cabaran sebenar. Pada ruang yang sangat terhad untuk mendapat tenaga balikan pada kon speaker, semuanya perlu selari dengan kuasa yang datang. Beberapa penambahbaikan dibuat, pelarasan dan talaan juga memakan masa yang lama dan menjerihkan. Namun bila titik pertemuan diperolehi, pemiliknya kini boleh tersenyum lebar. Penalaan kereta ini yang dibantu oleh unit pemproses H800 tadi nyata banyak memberi sumbangan.

Dari luar, saya yakin kereta ini adalah taste bagi ramai orang. Memasangkan rim TE37 buatan Jepun, spoiler ala Type R dan semburan warna merah dengan bumper depan replika Mugen RR menghasilkan imej simple dan bersahaja. Ringkasnya begini, kalau saya puji berlebih-lebih tu maknanya saya sukalah. Kan?

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 43