Audi adalah antara kereta sedan mewah di pasaran yang mempakejkan sistem audio mereka untuk menarik minat pembeli secara serius. Sejak dimiliki Volkswagen, modul perniagaan Audi dari sebuah kereta biasa telah disusun ke landasan baru menjadi pemain jenama mewah dari Jerman, sebaris dengan BMW dan Mercedes Benz.
Pada 2009, Audi menjalinkan kerjasama dengan B&O, Bang & Olufsen merupakan nama besar dalam industri sistem audio mewah kini dipertanggungjawabkan untuk melengkapkan sistem audio kereta-kereta Audi untuk spesifikasi tinggi. Setiap model dari siri berbeza diberi opsyen B&O, mengikut kehendak dan bajet pembeli.
Namun ia tidak murah. Lalu, opsyen rendah diberikan oleh Audi menerusi set audio Audi Symphony seperti Audi A4 putih ini. Walaupun kedengarannya seperti tidak lengkap tanpa B&O, Audi Symphony itu sendiri sudah cukup bagus sebenarnya. Audi Symphony menggunakan kepakaran Bose sebagai vendor utama bagi setiap komponen yang dilengkapkan.
Sepertimana peningkatan sistem audio jenis Sound Quality (SQ) yang biasa, sistem pada kereta Audi A4 1.8 ini menerima sejumlah susunan peralatan yang terdiri dari satu jenama sahaja; Hertz. Ia bermula dengan pemproses bunyi digital Hertz H8 Digital Sound Processor yang memaling isyarat dari pemain utama.
Pemproses digital ini penting untuk memastikan setiap output gelombang bunyi dapat digandingkan sepenuhnya dengan speaker yang dipasang. Sistem 3 hala dipasang pada bahagian kokpit dengan menampilkan kerja-kerja custom yang cukup kemas pada pillar A dan juga bahagian penyandar kerusi belakang yang menempatkan woofer.
Di pillar A ialah set speaker Hertz ML 700.3 yang terdiri dari seunit mid range dan seunit tweeter di kedua-dua belah bahagian kereta. Kejelasan suara speaker ini disumbangkan oleh set amplifier 4 saluran setiap satu iaitu model Hertz HDP4. Sumber bunyi tadi mendapat kedapan maksimum dari teknik pemasangan khusus yang dipasangkan teliti mengikut kontur dan perumah pillar asal kereta ini. Melengkapkan sistem 3 hala yang pada bahagian kokpit ini adalah mid bass Hertz ML1800.3 yang dipasang di panel pintu dan dikuasakan seunit lagi amplifier 4 saluran Hertz HDP4.
Seunit woofer 10” dipasangkan pada bahagian but menghadap kokpit hadapan. Teknik pemasangan ini adalah salah satu pilihan kepada pembina sistem audio SQ. Selain daripada permukaan yang rata, ia dihalakan terus ke bahagian dalam kokpit tanpa halangan. Woofer Hertz ML 2500 ini dikuasakan oleh seunit amplifier monoblock kelas D iaitu Hertz HDP 1 yang memastikan dinamik bunyi yang terjalin dapat dihasilkan.
Apa yang lebih istimewa pada kereta ini ialah pakej kemasan pemasangannya. Ia melibatkan kerja-kerja custom yang besar bagi menempatkan kesemua peralatan elektrikal di bahagian but. Penggunaan perspex, kain velvet dan lampu-lampu LED menjadikan hasil akhirnya cukup menawan.