Keunikan dan daya kreativiti para pecinta sistem audio kereta adakalanya tidak pernah difikirkan orang-orang biasa. Dari membina sistem audio dengan sistem speaker PA sehinggalah menyumbatkan tv LCD Plasma berukuran 29″! Tidak mustahil di masa akan datang, Kar HiFi akan bertemu dengan peminat yang menjunjung sistem speaker rumah pula. Ya. Mungkin sudah ada, cuma buat masa ini masih belum ditemukan lagi.
Daya kreativiti sebegini mampu membuatkan sesiapa sahaja terpikat untuk merapati kereta dengan muatan istimewa ini. Perhatian yang diterima di setiap medan tempur sekali gus menjadi pembakar semangat kepada pecinta audio kereta untuk terus menghasilkan sesuatu yang baru tanpa membelakangkan mutu bunyi. Itulah yang pernah dikongsi kepada saya. Kedua-dua aspek ini penting, hiasan dan juga kualiti sistem audio itu sendiri.
Namun begitu, bukan semua setuju dengan hal ini kerana bagi pecinta audio tegar, mutu dan kualiti bunyi adalah segala-galanya. Perkara-perkara lain akan difikirkan kemudian. Hal ini turut diperakui saudara Shahrul Rizal, seorang pecinta audio tegar dari Pulau Pinang. Lama berkecimpung dalam persada dunia modifikasi audio kereta, menjadikan beliau salah seorang yang peka tentang perkembangan dunia yang dicintainya itu.
Mengenang kembali kali pertama hatinya dicuri oleh kehebatan sistem audio ini sebaik sahaja menghadirkan diri dalam satu autoshow yang turut menyelitkan segmen audioshow. Terpegun dengan barisan kereta-kereta ini, beliau terus menghantar keretanya untuk menjalani proses modifikasi audio. Tidak seperti pecinta audio lain, saudara Shahrul lebih gemar memasang speaker dari sistem P.A ke dalam keretanya.
Buat pengetahuan anda, bahagian utara memang terdapat sejumlah pecinta audio yang meminati sistem bunyi yang terdiri daripada speaker PA. Kebanyakan peminat sistem jenis ini mengatakan bunyi yang dihasilkan speaker PA ini lebih jelas, mantap dan ‘bulat’. Malah, mereka juga mempunyai cara tersendiri untuk menghiburkan diri dengan sistem audio masing-masing. Satu kelebihan yang ada pada saudara Shahrul, sebelum memainkan mana-mana lagu, beliau melakukan ‘remix’ menggunakan perisian di komputernya. Hebat bukan?
Ruang belakang yang luas amat penting kepada para pecinta audio. Di ruangan inilah mereka melaksanakan kreativiti untuk mencapai bunyi yang diidam-idamkan. Bermula dengan pemain utama, JVC KD-AR3000 yang didatangkan dengan grafik menarik dan mampu menghasilkan bunyi hebat. Isyarat yang terhasil dari proses pembacaan format di stesen pemain utama ini dipancarkan sebelum menghasilkan bunyi yang diingini.
Seterusnya isyarat ini dipancarkan kepada barisan pre-amp. Shahrul menggunakan 4 unit pre-amp. 2 unit di bahagian hadapan iaitu Debezt PA-501 dan Cracker CR-4800 untuk speaker bahagian depan. Manakala 2 unit lagi, RDS 7008 dan V-Power VP9999 khas untuk jentera speaker di bahagian belakang. Menurutnya, penggunaan pre-amp ini memudahkan beliau mengawal jumlah yang diperlukan sama ada di bahagian belakang mahupun hadapan tanpa perlu mengganggu antara satu dengan yang lain.
Isyarat tersebut menjalani proses pembesaran yang dilakukan oleh barisan amplifier. Terdapat 3 unit amplifier digunakan yang terdiri daripada 1 unit amplifier 4 channel Revenge Digital untuk memacu 4 unit mid bass Black General B60, 2 unit mid bass Arizona Euro Series dan 4 unit dome tweeter Night Stalker. 1 unit amplifier 4 channel Caliber pula memacu 2 unit speaker komponen dan 2 unit tweeter Black General di bahagian belakang. Dan 1 unit amplifier monoblock Agako digunakan untuk memacu 2 unit speaker sistem PA yang juga woofer 15” Beyma.
Terdapat beberapa nama yang turut membantu Shahrul dalam mengemudi kereta kesayangannya ini dengan megah. Antaranya AD Car Audio yang banyak memberi dorongan dan melestarikan sistem audio seperti yang dapat dilihat hari ini dan perbelanjaan yang dikeluarkan sebanyak RM12,000.00 ini dirasakan tidak sia-sia. Shahrul sentiasa aktif dan merasakan sistem audionya masih belum mampu memuaskan hati. Hmm…