Kereta Demo Prospec Ultimate Audio Force

Mula-mula tengok kereta ini, saya ingatkan jenamanya berkaitan dengan aksesori badminton. Raket Prospec. Tapi bila diberitahu ia adalah sebuah jenama Audio, barulah saya sedar. Tidaklah melucukan bila ada dua nama yang sama pada jenama dengan produk berbeza. McIntoch pun kalau pada mereka yang tidak biasa dengan dunia ICE pasti menyangka ia adalah komputer keluaran syarikat Apple padahal McIntoch adalah jenama premium yang diasaskan oleh Frank McIntoch di Amerika Syarikat.

Pernah satu ketika dulu ada kawan saya sangka pelekat Mines yang ditampal pada kereta ialah unit promosi pusat beli belah Mines di Sri Kembangan. Sebenarnya Mines ialah tuner enjin di Jepun, sama seperti Tomei, HKS dan Greddy. Kalau pelekat Spoon pada kereta Honda tu jangan ceritalah, sampai isteri saya pernah tanya kenapa pelekat ‘Sudu’ pun nak diagung-agungkan? Nama juga boleh mengelirukan bukan?

Berbalik pada kereta Kancil kuning yang kami temui di Shah Alam. Kereta ini adalah kenderaan demo yang dimiliki oleh pengeluar produk audio Prospec. Namanya mungkin agak asing tetaip jenama ini telah bertapak dalam industri lebih sedekad lalu. Sebagaimana pengeluar bebas yang lain, sasaran produk Prospec lebih tertumpu kepada pasaran untuk SPL. Dan masalah utama bila anda menjual produk SPL ialah wajib membina kenderaan demo yang paling baik untuk dijadikan bukti bahawa produk anda memang benar-benar bagus.

Kereta ini dikepalai oleh pemain utama Alpine CDA 9833. Apakah yang menarik padanya? Ia ada fungsi MP3 dan WMA dan juga penala dalaman untuk pembahagian frekuensi mid dan woofer. Senarai keupayaanya tidaklah panjang tetapi kemampuannya mengatur keseluruhan sistem boleh dipuji. Buktinya dapat dilihat dengan kawalan terus dilakukan menerusi pemain ini tanpa menggunakan sebarang pre-amp ataupun pemproses sekunder.

Sambungan sistem dibuat kepada 4 unit amplifier monoblok dan 1 unit amplifier 4 channel Prospec DB4125. Diagram awalnya ialah susunan 8 unit mid 6” yang dipasang bertentangan dengan perumah woofer. Dengan saiz but Kancil yang kecil itu, penambahan 8 unit tweeter dipasang pada hujung siling tetapi masih lagi memberi ruang kepada woofer di belakangnya tanpa halangan yang besar. Pendek kata, susunan mid dan tweeter ini dibuat sebagai asas sebelum kekotak woofer diukur untuk memuatkan 8 woofer berikutnya.

8 unit woofer ini dapat kuasa daripada 4 unit amplifier Prospec siri Ultimate. Keseragaman bunyi bass kereta ini memang padu dengan memperlihatkan saluran kuasa yang mencukupi untuk dipandu amplifier tadi. Sebenarnya, ia bukan sahaja berdasarkan jenis woofer tetapi muslihat pemasangan juga memainkan peranan penting.

Poliferasi pemasangan berbentuk V dengan penggunaan kotak kedap sepenuhnya mampu menghasilkan gumpalan bunyi yang jitu. Mungkin ramai yang tidak sedar akan hakikat ini bahawa bilangan woofer yang sedikit mampu menewaskan woofer yang lebih banyak jika pemasangannya dilakukan dengan betul. Bagi sebuah kereta demo SPL, sudah tentu menjadi perkara paling kritikal untuk mempersembahkan hasil bunyi woofer kerana orang menilainya dari sudut itu.

Keseluruhan pemasangan yang dibuat pada kereta ini mungkin tidak kemas mengikut standard industri. Wayar di belakang tempat duduk kelihatan berserabut. Susunan bateri, kapasitor digital dan mounting amplifiernya mungkin agak bercelaru tetapi sesuatu yang harus dipuji, ia sebuah kereta yang mencapai matlamat demonya. Dalam pertandingan audio di Karnival Mesra Belia Pandan tahun lepas, kereta ini mendapat tempat pertama bagi kategori Best Audio.

Mengetengahkan hasil pada produk demo adalah peluang yang ramai orang inginkan. Syarikat audio yang memperkenalkan jenama baru di pasaran bukan sedikit. Membandingkan produk A dengan B, C, D hingga Z memang memeningkan kepala. Kerana itu juga, kereta demo begini selalunya menjadi tanda aras di depan premis sebelum pelanggan berjaya dipujuk. Lazimnya ia memang berjaya.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 29