Hobi audio boleh berubah mengikut keadaan. Sebagai contoh, letak diri anda dalam situasi memiliki teman yang tidak mempunyai minat serupa, atau anda tidak pernah tahu kewujudan produk premium yang bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi harganya tidak murah. Posisi begini akan menjauhkan diri seseorang dengan transformasi audio.

Kecenderungan orang juga berbeza-beza. Jika bagus pada si A, tidak semestinya enak didengar si B. Pengubahsuaian audio selalunya menjadi jalan keluar pada mereka yang memiliki citarasa tinggi. Tidak semestinya anda seorang yang eksentrik audio, cukup sekadar kegilaan sebenar seseorang yang mahukan lebih dari yang ditawarkan sebuah sistem standard OEM.

Volkswagen Passat adalah antara kereta penumpang yang semakin popular di Malaysia. Passat ini adalah salah satu contoh kereta yang keluar sahaja dari pusat pameran terus masuk ke pusat aksesori Great Sound Auto Accessories cawangan Kota Kemuning untuk proses transformasi audio. Ya. Tidak salah berbuat begitu jika anda menambah peralatan lebih baik dari yang ditawarkan sistem OEM. Di sini, sistem yang dipasangkan mungkin 50 kali lebih berkualiti dari sistem asal.

Pemain utamanya sahaja sudah memperlihatkan betapa pemiliknya seorang yang serius. Unit Pioneer D7RII dengan pemproses ODR ini sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia mendahului apa-apa senarai pemain audio digital yang ada di luar sana.

Pemproses bertaraf 5 bintang ini kemudiannya digandingkan dengan amplifier Sinfoni dan speaker Rainbow. Cukup mantap bak Ferrari bertemu Lamborghini dan McLaren. Lebih menarik lagi, kesemua peralatan ini dipasangkan mengikut spesifikasi OEM. Komponen mid, di bahagian depan yang hanya kelihatan 2 unit tweeter Rainbow bertenggek di atas pillar A. Mid bass 6” dan mid range 4”, kedua-duanya jenama Rainbow diletakkan tersorok di bahagian panel pintu tetapi sudah tentulah dengan ‘mounting’ yang diperkemaskan terlebih dahulu. Gandingan komponen aktif ini digabungkan dengan pembekalan kuasa oleh amplifier Sinfoni Amplitude 50.4x. Tweeter tadi pula mendapat suntikan dari amplifier Sinfoni Amplitude 90.2x, amplifier 2 saluran dengan keluaran kuasa 90watt RMS.

Bagi melengkapkan konfigurasi keseluruhan sistem, pemadanan sekurang-kurangnya seunit woofer sudah tentulah wajib dilakukan. Menghiasi bahagian but belakang Passat ini ialah woofer Rainbow 12” yang dipadankan dengan amplifier Sinfoni Amplitude 150.2x. Sekali lagi, ia adalah amplifier 2 saluran kelas AB dan bukannya dari jenis monoblok yang biasanya kita lihat.

Kemasan di dalam but kereta ini juga sesuatu yang menarik untuk diceritakan. Jarang sekali sebuah kereta baru diubahsuai dengan sebegini drastik. Penempatan peralatan seperti amplifier, woofer dan pemproses dilakukan dengan kerjatangan yang kreatif. Semuanya disusun rapi dan ditutup dengan perspek jernih pada permukaannya. Penggunaan neon pelbagai warna menjadikan keseluruhan but ini lebih berseri setiap kali dinyalakan pada waktu malam.

Dewasa ini, pembangunan kereta-kereta SQ begini dapat dilihat berkembang dengan cukup ekstensif, ia menunjukkan satu perkara. Ekonomi kita sedang berkembang sihat di mana orang mampu berbelanja pada peralatan kelas premium. Ia adalah aktiviti sihat yang mampu menggerakkan ekonomi kita pada peringkat domestik dan juga dagangan ringgit luar negara. Dari satu segi, ramai orang melihat ini satu bentuk pembaziran, tetapi percayalah, hanya yang benar-benar faham sahaja mengangguk tanda setuju.

Kalau ada yang pertikaikan, cuba lihat bagaimana ada orang beli beg tangan sampai harga belasan ribu ringgit? Batang pancing dengan harga sebuah motosikal kapcai?
Hmm, memang kaya-kaya orang Malaysia ni…
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 37



























