Bertempat di Mtree Hotel yang terletak di Puchong, Selangor telah berlangsungnya Judge & Competitor Training 2022 (Latihan Juri & Peserta My-Can). Bermula dari pukul 8.30 pagi dan berakhir sekitar pukul 6.00 petang, latihan ini tetap mendapat sambutan yang menggalakkan dari para peserta walapun diadakan pada hujung minggu.
Tujuan utama latihan ini diadakan adalah sebagai persediaan penganjuran pertandingan audio My-Can yang dijangka bakal berlangsung pada bulan November nanti. Para peserta berpeluang mendengar sesi yang dikendalikan beberapa nama terkemuka dunia audio termasuk saudara Wahyu Tanuwidjaja selain mendengar penerangan tentang peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang pertandingan berlangsung.
Bukan itu sahaja, para peserta yang hadir turut berpeluang menyaksikan demo produk audio yang ada disediakan. Tidak kurang juga yang menggunakan kesempatan ini untuk bertanyakan tentang tips-tips berguna semasa menyertai pertandingan kelak. Semoga sesi latihan ini memberi manfaat dan pertandingan yang dianjurkan berjalan seperti yang dijadualkan.